Pampasan H5N1 sebulan lagi

(Last Updated On: July 5, 2017)
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bergambar bersama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Ismail Bakar (dua kiri), Pengerusi UBM Malaysia, Tan Sri Dr Ahmad Mustaffa Babjee (dua kanan), Pengarah Urusan ASEAN Business-UBM Asia, M. Gandhi (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Veterinar (Kesihatan Veterinar), Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam (kiri) selepas sidang media Penganjuran Livestock Malaysia sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK di Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijangka membayar pampasan hampir RM400,000 kepada penternak unggas dan ayam yang terjejas akibat wabak selsema burung susulan penularan virus Avian Influenza (H5N1) di Kelantan.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, berkata pihaknya kini mengenal pasti bilangan penternak yang ternakannya dimusnahkan bagi membasmi penularan H5N1.

“Proses ini dijangka selesai dalam sebulan sebelum pampasan diagihkan kepada 1,023 penternak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri pengumuman penganjuran ‘Livestock Malaysia’ sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017.

Dr Quaza berkata, pemantauan dan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di Kelantan masih dilakukan bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Katanya, proses itu memasuki hari ke-49 hari ini dan tiada kes baharu direkodkan.

“Ia akan diteruskan 90 hari sebelum Kelantan boleh diumumkan bebas daripada virus berkenaan, seiring ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Sumber : news365