Perkembangan Selsema Burung (H5N1) di Kelantan

(Last Updated On: July 19, 2017)

6 Julai 2017

Malaysia Bebas Selsema Burung (H5N1)

Malaysia diisytihar bebas dari Selsema Burung (H5N1) mulai sabtu lepas. Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Veterinar, Dato Dr. Quaza Nizamuddin bin Hassan Nizam. Ia berikutan tiada pengesanan baru penyakit itu selama 90 hari sejak pembasmian kuman yang terakhir dibuat pada 1 April 2017. Dengan status itu negara import seperti Jepun, Indonesia, Sri Langka dan Cina membenarkan semula kemasukan ayam, itik dan sarang burung walit dari Malaysia


29 Mac 2017

Malaysia Belum Bebas Selsema Burung (H5N1)

Selepas lebih seminggu tiada jangkitan dilaporkan, satu jangkitan terbaharu dilaporkan di jajahan Bachok. Ini menjadikan jumlah kampung yang terjejas dengan wabak berkenaan meningkat kepada 36 kampung. Ini berbanding 28 kampung sebelum ini. Untuk perkembangan lanjut kita bersama wakil Astro AWANI Kelantan, Muafandi Muhammad.


22 Mac 2017

H5N1: JPVK Lupus 35,999 Unggas, 14,330 Telur

KOTA BHARU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan (JPVK) melupuskan sebanyak 35,999 unggas dan 14,330 telur dalam operasi membasmi wabak selsema burung (H5N1) di negeri ini sehingga semalam.

JPVK dalam kenyataan berkata selain itu sebanyak 3,392 sampel telah diambil daripada 571 pemilik di enam jajahan yang terbabit dengan wabak berkenaan.

“Enam jajahan iaitu 14 lokasi di Kota Bharu, Pasir Mas (enam), Tumpat dan Pasir Puteh (masing-masing tiga) manakala Tanah Merah dan Bachok (masing-masing satu) terlibat dengan wabak berkenaan.

“Setakat ini, tiada lokasi baharu dikesan dengan serangan wabak berkenaan,” kata kenyataan itu.

 Kerajaan Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas. – BERNAMA


21 Mac 2017

Tiada Lokasi Baharu H5N1 Di Kelantan
PASIR MAS, 16 Mac — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) ketika melawat kawasan operasi wabak selesema burung (H5N1) di Kampung Kubang Bemban hari ini.
–fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) — Tiada lokasi baharu disahkan positif virus selsema burung (H5N1) di Kelantan semalam, kata Jabatan Perhidmatan Veterinar.

Setakat ini, keadaannya terkawal dan terhad kepada kawasan dijangkiti yang melibatkan ayam kampung para penternak kecil-kecilan sahaja, kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu mengawal wabak berkenaan dalam radius 30 kilometer dari Kampung Pulau Tebu yang melibatkan enam jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah dan Bachok di Kelantan.

Sehingga semalam, sebanyak 34,520 ekor ternakan unggas dan 13,969 biji telur telah dilupuskan di negeri itu dalam usaha membendung wabak H5N1 daripada merebak.

Sejumlah 3,262 sampel juga diambil daripada 552 pemilik premis sehingga semalam.

Menurut jabatan itu sebanyak 28 lokasi disahkan positif virus H5N1 di enam jajahan yang melibatkan 43 premis iaitu Kota Bharu (14 lokasi), Pasir Mas (enam), Tumpat (tiga), Tanah Merah (satu), Bachok (satu) dan Pasir Puteh (tiga).

Sekatan jalan raya turut dilakukan di empat lokasi strategik yang dirahsiakan sebagai kawalan pergerakan unggas dari Kelantan bagi memastikan keberkesanan kawalan.

“Negeri-negeri lain kekal bebas dan berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi, selain melakukan pemantauan aktif serta kawalan pergerakan unggas di jalan masuk ke negeri masing-masing,” kata jabatan itu.

Pada 15 Mac lepas, kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan wabak H5N1 sebagai bencana negeri susulan kematian ayam kampung akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu pada 6 Mac lepas.

— BERNAMA


15 Mac 2017

Dilanda Wabak Selsema Burung, Kelantan Isytihar Bencana

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri.

Ini berikutan wabak itu merebak di 2 lagi jajahan, iaitu Bachok dan Pasir Puteh, selepas Kota Bharu dan Pasir Mas, kata exco.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata keputusan itu dibuat di mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini mengikut Perintah Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN 20).

“Berikutan keputusan tersebut, semua agensi yang berkaitan akan digerakkan untuk mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak selesema burung itu atau H5N1 itu terus merebak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Virus H5N1, yang menyerang unggas, dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini, pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung mati.

Che Abdullah berkata wabak berkenaan merebak dengan cepat meskipun kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah mengambil langkah awal sebaik ia disahkan positif di Kampung Pulau Tebu.

“Dua kawasan terbaru yang dikesan adalah di Kampung Dusun Durian, Bachok dan Kampung Bukit Merbau, Pasir Puteh. “Kota Bharu menjadi jajahan paling terjejas membabitkan 18 kampung setakat ini,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 23,768 unggas dan 881 telur dimusnahkan membabitkan sebanyak 129 premis sebagai langkah pencegahan, kata Che Abdullah.

Sumber: freemalaysiatoday


Selasa, 14 Mac 2017 @ 12:30 PM

Laga ayam disyaki punca H5N1

Kota Bharu: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) tidak menolak kemungkinan punca wabak selsema burung di Kelantan akibat kegiatan laga ayam di sempadan.

Bagaimanapun Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Kamarudin Md Isa berkata, pihaknya masih menyiasat perkara itu termasuk melakukan padanan kes dengan penyakit unggas negara Asean.

“Usaha mengenal pasti punca agak sukar, namun ia sudah tentu bawaan dari luar Malaysia dan kita sedang jalankan perincian lebih lanjut.

“Kes ini kita lihat hampir serupa dengan kes 2004 (juga di Kelantan ) yang punca ayam dijangkiti H5N1 ada kaitan dengan aktiviti laga ayam di sempadan.

“Saya harap aktiviti haram itu dihentikan segera supaya dapat menngekang wabak ini,” katanya pada sidang media di Pejabat JPV Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga pagi ini, 15,957 unggas pelbagai jenis sudah dimusnahkan di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Antaranya, ayam kampung, itik, burung puyuh, ayam serama, angsa dan burung ketitir.

“Semua ternakan ini berada dalam lingkungan 10 kilometer kawasan pantauan dari lokasi wabak dan dimusnahkan untuk mengelak virus H5N1 mencari perumah baru.

“Dalam lingkungan itu juga, enam kawasan dijangkiti di Kota Bharu dan tiga lagi di Pasir Mas. Tiada lokasi baharu dan wabak juga tidak merebak ke negeri lain,” katanya.

Menurut Kamaruddin, pihaknya berbincang dengan pihak berkuasa untuk melakukan sekatan statik bagi mengelak ternakan di kawasan terjejas dibawa keluar.

Sumber: hmetro


13 Mac 2017

JPV Musnahkan 2,438 Ayam Kampung, 860 Telur Elak Selsema Burung Menular

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) setakat ini sudah memusnahkan sebanyak 2,438 ekor ayam kampung dan 860 biji telur di Kampung Pulau Tebu, Tunjung, Kota Bharu sejak 6 Mac lalu akibat gejala penyakit selsema burung H5N1.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, proses memusnahkan ayam dan telur itu dilakukan pada setiap hari di Zon Pemantauan yang berlingkungan sejauh 15 kilometer (km) dari kawasan wabak itu mula dikesan.

“Setakat ini keadaan adalah terkawal walaupun belum bebas sepenuhnya. Semua ayam yang dijangkiti virus ini adalah ayam kampung.

“Namun, sekiranya penularan virus ini tidak dikawal, ia boleh menjangkiti ayam komersial. Buat masa ini, jangkitan hanya terkepung di kawasan yang berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) 2016 di Wisma Tani di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai kes selsema burung dikesan di kampung tersebut apabila beberapa ekor ayam kampung yang mati, disahkan positif selsema burung.

Sumber: kosmo


10 Mac 2017

Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia Pemantauan Kesihatan Terhadap Kejadian Selsema Burung (H5N1) Dalam Kalangan Unggas di Kg. Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan

Berdasarkan maklumat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan pada 5 Mac 2017 berkaitan kejadian Selsema Burung yang berlaku di Kg. Pulau Tebu Tunjong, Kota Bharu Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah segera menggerakkan aktiviti pencegahan dan kawalan bagi mengelakkan jangkitan penyakit tersebut kepada manusia. Sehingga 5:00 petang 9 Mac 2017, tiada kes H5N1 dilaporkan di kalangan manusia.

Aktiviti pencegahan dan kawalan dilakukan berdasarkan Garispanduan Pengurusan Avian Influenza, 2004, Kementerian Kesihatan Malaysia. Aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dilakukan dalam lingkungan 300 meter radius dari tempat kejadian ayam mati di Kg Pulau Tebu. Sehingga 9 Mac 2017, sebanyak 58 rumah dilawati melibatkan 235 orang penduduk, 21 anggota kesihatan dan 45 anggota DVS. Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh (7) kes mengalami gejala dan telah diisolasikan di hospital berhampiran. Enam (6) orang merupakan anggota Makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mengalami gejala ringan dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Tumpat pada 5 Mac 2017 dan telah disahkan negatif penyakit selsema burung. Kesemuanya telah discaj pada 6 Mac 2017 dan berada dalam keadaan sihat serta tidak bergejala. Manakala seorang (1) penduduk kampung telah dimasukkan ke wad isolasi HUSM pada 8 Mac 2017 dalam keadaan stabil. Keputusan ujian makmal pada 9 Mac 2017 bagi penduduk tersebut, disahkan negatif H5N1 dan positif bagi Influenza B. Justeru itu, sehingga 5:00 petang 9 Mac 2017, TIADA kes H5N1 di kalangan manusia.

Aktiviti promosi kesihatan berkaitan penyakit selsema burung telah dipergiatkan di kawasan dalam lingkungan satu (1) kilometer radius dari tempat kejadian. Sehingga 9 Mac 2017, sebanyak 368 edaran risalah, 172 edaran Health Alert Card, 122 sesi perbincangan kecil yg melibatkan 464 penduduk, 255 sesi tunjuk cara yang melibatkan 620 penduduk, 373 nasihat individu, 88 hebahan awam dan 16 tampalan poster dilakukan dalam lingkungan 1 km dari tempat kejadian.

Bagi pengesanan awal kejadian kes dalam kalangan manusia, semua fasiliti kesihatan juga telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan ke atas kes-kes Infuenza like illness dan kes jangkitan respiratori yang datang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. Anggota kesihatan juga telah diminta untuk meningkatkan prosidur kawalan jangkitan infeksi di fasiliti kesihatan.

Semua anggota Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menggunakan alat perlindungan diri yang lengkap semasa menjalankan aktiviti di lapangan. Status kesihatan anggota ini dipantau setiap hari bagi memastikan tiada jangkitan dalam kalangan anggota yang menjalankan aktiviti di lapangan. Sehingga 9 Mac 2017 ke semua petugas yang terlibat daripada kalangan petugas Kesihatan, petugas Veterinar dan dari agensi-agensi lain yang terlibat adalah berada dalam keadaan sihat.

Tanda-tanda dan gejala penyakit Selsema Burung adalah demam tinggi (melebihi 38oC), sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi atau letih lesu.

Orang ramai dinasihatkan agar:

  1. Segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan jika mengalami gejala dan terdedah kepada ayam mati yang disahkan positif atau kejadian unggas mati yang luar biasa;
  2. Amalkan pengendalian unggas yang baik seperti memakai penutup mulut dan hidung, sarung tangan, apron dan kasut but;
  3. Bagi penyembelih ayam, penjual ayam dan pemproses daging ayam, mereka hendaklah juga sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, apron, sarung tangan getah atau plastik dan kasut but getah kalis air; dan
  4. Amalkan tabiat membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun.

Sekian terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Sumber: kpkesihatan