Perutusan Ketua Pengarah

(Last Updated On: January 18, 2016)

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dengan moto ‘Tugas Kami Berbakti Kepada Anda’ menggariskan perkhidmatan teras di dalam aspek kesihatan ternakan dan pembangunan komoditi ternakan serta beberapa perkhidmatan sokongan. Perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan meliputi aktiviti kawalan, pencegahan dan pembasmian penyakit haiwan; pembangunan industri ternakan; penyelidikan di dalam bidang penyakit, pembiakan, pemakanan ternakan dan sosio-ekonomi penternak; perkhidmatan makmal dan kepastian kualiti untuk produk-produk berasaskan ternakan serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan veterinar. DVS juga menyediakan perkhidmatan konsultansi dan bimbingan kepada bakal-bakal pengusaha ternakan dan pengusaha yang telah pun berkecimpung di dalam bidang penternakan.

Selaras dengan keperluan semasa, DVS telah menggalakkan penggunaan teknologi terkini di dalam sistem penternakan terutama sistem yang mesra alam dan mematuhi piawaian antarabangsa. Pegawai-pegawai DVS telah diberikan pendedahan di dalam teknologi terkini sama ada di dalam atau di luar negara agar dapat memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan DVS.

Selain itu, DVS juga mempunyai tanggungjawab sosial di dalam pembasmian kemiskinan melalui penglibatan di dalam program micro-credit dan mempelbagaikan pendapatan terutama melalui pengeluaran produk asas ternakan (makanan dan bukan makanan). Program-program ternakan juga telah dikenalpasti sebagai satu daripada program yang dapat memperkayakan ekonomi desa.

DVS selaku ‘custodian’ haiwan memandang serius hal ehwal kesejahteraan dan kebajikan haiwan dan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kes-kes penginayaan haiwan dapat diatasi.

Selari dengan konsep ketelusan, laman web DVS memaparkan perkhidmatan-perkhidmatan dan maklumat-maklumat aktiviti dan industri ternakan di negara ini. DVS sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan di dalam dan di luar negara. Justeru itu, sekiranya anda mempunyai sebarang komen atau kemuskilan bolehlah dipanjangkan kepada pihak DVS untuk tindakan selanjutnya di e-mail berikut pro@dvs.gov.my.

Terima kasih.

‘PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN’ 

KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN VETERINAR MALAYSIA

2015