Program Penerangan Pembangunan NAIMbif

(Last Updated On: December 28, 2017)

Program Penerangan Pembangunan NAIMbif anjuran JPVNK bersama Adun Jelawat telah diadakan di Dataran Ilmu Kedai Gunong pada 28 Disember 2017 (Khamis) bermula jam 9.30 pagi. Program tersebut dilaksanakan bagi tujuan memberi pendedahan dan penerangan awal mengenai NAIMbif kepada penduduk setempat. Program Penerangan Pembangunan NAIMbif ini telah dirasmikan oleh YB Haji Abdul Azziz bin Kadir (Adun Jelawat ).

Pengenalan berkenaan NAIMbif telah disampaikan oleh Dr. Syarifah Asiah binti Mohd Amin, Timbalan Pengarah Bahagian Industri Ternakan dan penerangan secara terperinci telah dipersembahkan oleh En Abd. Halim bin Mohamed, Ketua Bahagian Perangcang dan Penilaian. Turut hadir bersama Che Daud bin Abdullah, Ketua Jabatan Perkhidmatan Veterinar Jajahan Bachok dan Dr. Nooraihan binti Harun, Ketua Seksyen Komoditi Ternakan JPVNK. Sesi soal jawab juga turut dibuka kepada peserta yang hadir..

Apa itu NAIMbif? NAIMbif adalah satu sistem pengeluaran lembu pedaging yang mendapat akreditasi berasaskan kepada penggunaan induk kacukan Charolais generasi F2 dan F3 sebagai keperluan minimum yang telah mencapai tahap piawaian kualiti yang ditetapkan, dipelihara secara gerompok semi-intensif bagi tujuan pembiakan secara tertutup (bridlot) bagi menghasilkan daging yang halal, berkualiti, bersih dan suci berasaskan hukum syarie selaras dengan konsep Bertani Satu Ibadah.

Falsafah skim pengeluaran NAIMbif adalah sebagaimana firman Allah :

‘Makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman’ [Surah Al-Maaidah : Ayat 88]