Skim Bantuan Pawah Ternakan

(Last Updated On: May 16, 2017)

PENGENALAN TENTANG SKIM BANTUAN PAWAH  TERNAKAN

“Pawah Ternakan“ merupakan suatu istilah yang begitu sinonem dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Skim Bantuan Pawah Ternakan bermaksud bantuan yang berbentuk kredit induk ternakan sama ada lembu, kerbau, kambing atau bebiri yang diberikan kepada penternak untuk dipelihara. Setiap pemberian bantuan akan disertai dengan perjanjian bertulis yang mana syarat-syaratnya perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak, iaitu Jabatan Perkhidmatan Haiwan bagi pihak Kerajaan dan penternak.

Perjanjian pawah ini akan dianggap tamat atau selesai setelah penternak berjaya mengembalikan seekor anak sama ada betina atau jantan dewasa bagi setiap ekor induk yang diterima. Perjanjian juga akan dikira tamat sekiranya berlaku kematian induk, kehilangan, penyingkiran dan lain-lain alasan yang diperakui oleh pihak Jabatan.

Skim bantuan pawah ini merupakan salah satu dari produk terawal yang ditawarkan kepada golongan penternak selaku pelanggan Jabatan dan sehingga kini dianggap masih relevan dan menjadi medium berkesan untuk menghubungkan pihak Jabatan dengan penternak. Di Negeri Kelantan, skim ini telah mula dilaksanakan seawal Tahun 1961. Bantuan pawah yang diberikan berbentuk sama ada pawah baru atau pawah semula. Pawah baru bermaksud induk ternakan yang dibeli oleh Jabatan dan dibekalkan kepada penternak yang berkaitan. Manakala pawah semula bermaksud anak betina dewasa hasil dari pawah yang diambil dari seseorang penternak bagi tujuan menamatkan perjanjian dan diberi pawah semula kepada penternak lain.

Di antara objektif skim pawah ini adalah untuk memperluaskan aktiviti menternak di kalangan rakyat miskin di luar bandar, menambah pendapatan sampingan penternak serta membantu meningkatkan pengeluaran daging tempatan.